Tuesday, November 3, 2009

Pengagihan Hasil kekayaan Negara Mengikut Perspektif Islam

Islam meletakkan keadilan dalam pengagihan kekayaan mengikut syariat yang ditetapkan Al-Quran dan Al-Hadis. Islam meharamkan pelonggokan harta kekayaan dan menggesa mengeluarkan perbelanjaan untuk kemaslahatan umat Islam. Pada masa sama Islam menghendakinya supaya hasil kekayaan dibelanjakan pada jalan Allah dengan menyempurnakan hak yang wajib padanya serta menjadikan hasil kekayaan itu beredar di tangan umum supaya faedah-faedahnya dapat dinikmati dengan sifat harta itu adalah suatu alat dan bukan matlamat.

Petunjuk Illahi adalah dianggap sebagai satu asas ekonomi Islam yang tidak merestui sama sekali tindakan monopoli dalam erti kata menyimpan dan melonggok harta kekayaan atau komoditi untuk menentukan nilai pasaran dengan harga yang mahal; kerana cara demikian pastinya menjejaskan kemaslahatan dan hak orang ramai. Allah SWT berfirman:

"Apa sahaja harta rampasan (fai'i) yang diberikan Allah kepada RasulNya yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggallah"

Jelas ayat di atas Allah SWT mengharamkan tindakan menjadikan harta itu berkisar di tangan golongan yang tertentu sahaja. Pembahagian ini (harta fai'i) yang diberikan Allah SWT untuk golongan fakir sahaja tidak kepada yang lain dari mereka, kerana mereka tidak punyai hak padanya. Ia merupakan semata-mata kemenangan yang dikurniakan Allah SWT kepada RasulNya tanpa melakukan sebarang pertempuran atau perjuangan senjata dan hukum ini boleh juga diqiaskan kepada yang serupa dengannya bila-bila ada terjadi.

Hikmahnya ialah supaya jangan harta itu berkisar atau terhimpun pada tangan golongan yang kaya sahaja tidak pada fakir miskin dari kalangan umat Islam. Maka hendaklah dipelihara bahagian golongan fakir miskin pada harta-harta yang tidak ada padanya hak orang-orang kaya yang mana pihak yang berkuasa hendaklah meletakkan ianya ditangan orang yang paling memerlukannya yang mempunyai hak yang tersedia dalam harta orang-orang kaya.

Secara generalisasinya, ekonomi Islam menuntut pengagihan kekayaan secara adil terhadap golongan miskin, pertengahan dan kaya. Ini bagi memastikan kemakmuran kekayaan dalam negara dapat diagih dan dirasai secara bersama.



Sunday, November 1, 2009

Persepsi Awal Terhadap Penahanan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Isu penahanan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin di sebuah banglo Hulu Klang, bekas Mufti Perlis pada 1 November menjadi tema diskusi perdebatan keagamaan dan perundangan di negara kita. Tuduhan yang disabitkan oleh JAIS ke atas Dr. Asri adalah beliau berceramah tanpa tauliah yang dikeluarkan institusi terbabit. Dalam hal ini, penulis tidak mahu menyentuh soal perundangan yang menjadi hak pemutus JAIS, tetapi yang menjadi persoalan di sini integriti dalam dakwah bil-lisan seakan dikelirukan yang boleh menyebabkan masyarakat Islam di Malaysia berbalah serta memperlihatkan kelemahan perundangan Islam secara praktikalnya.

Mungkin, apabila dikritis secara tersirat isu penahanan Dr. Asri dilihat berkait rapat dengan tuduhan bahawa beliau terlibat dalam penyebaran gerakan Wahabi di Malaysia atau kelantangan beliau dalam membidas isu-isu yang bercanggah dengan pihak-pihak tertentu yang menyebabkan timbulnya polemik dalam kalangan ahli-ahli agama dan politik. Walau bagaimanapun, pada hemat penulis hakikatnya rentetan isu ini bermula apabila masyarakat Islam di Malaysia masih lagi dikepompongi dengan pemikiran Melayu tradisional yang tidak selari dengan prinsip Islam yang sebenar. Persoalan furu' yang dibahaskan secara keterlaluan menyebabkan masyarakat Islam mudah hilang fokus terutamanya terhadap isu-isu yang sepatutnya diprioriti untuk dimartabatkan sebagai tema perdebatan dan perjuangan masyarakat Islam di Malaysia. Lantaran itu, As-Syahid Sayyid Qutb dalam bukunya" Ma'alim fit Tariq", ada menjelaskan ciri-ciri, punca dan sebab kewujudan masyarakat Jahilliah moden dalam kalangan umat Islam akibat daripada pergolakan keterlaluan yang berkaitan soal furu' atau cabang ini. Mungkin kerana itu, Syeikhul Islam Ibn Tamiyyah tidak menerima konsep bida'ah dalam kehidupan manusia pada zamannya.

Justeru, mungkin kita perlu kembali kepada fitrah agama Islam yang sebenar berasaskan panduan Al-Quran dan Sunnah Rasullullah SAW dan golangan salafiyyah untuk mengelakkan perpecahan umat Islam serta pada masa yang boleh menyebabkan masyarakat bukan Islam semakin menjauhkan dirinya daripada agama Islam lantaran 'KEJAHILAN' umat Islam sendiri. Jadikan isu penahanan Dr. Asri sebagai ikhtibar kepada kita bahawa masyarakat Islam perlu bersatu dalam menangani sebarang pergolakan dan provakasi dari pihak luar serta PERPADUAN umat Islam sebagai teras utamanya dalam setiap tindakan yang diambil.

Nafsu dan Sanggahannya dalam Pembinaan Tamadun Islam

Masyarakat yang bertamadun lahir daripada tatasusila yang tinggi dalam kalangan komunitinya, disamping pembangunan ekonomi yang luhur dan nilai sahsiah diri yang mantap. Pemikir Islam klasik seperti Ibn Khaldun, Ibn Sina, dan Ibn Tamiyyah sering mengaitkan kecendurungan jiwa yang bersih dalam membentuk kerangka tamadun yang ideal dan praktikal sifatnya berlandaskan syariat Islam. Pandangan mereka turut disokong dan dikongsi bersama oleh pemikir Islam kontemporari yang lain seperti Muhammad Iqbal, Malek Bennabi, Abul Hassan Ali an-Nadwi, Hamka, Muhammad Natsir, Al-Maududi, Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan lain-lain lagi; yang meletakkan nilai tauhid sama ada ubudiyyah dan rubudiyyah sebagai kerangka tamadun Islam moden selari dengan tuntutan Al-Quran dan Al-Hadis sebagai batu asas kepada pembangunan mampan masyarakat Islam.

Namun demikian, pada hemat penulis cabaran dan rintangan dalam usaha membentuk masyarakat Islam yang idealis berasaskan prinsip tauhid yang hakiki adalah terletak bagaimana cara individu Islam menangani NAFSUNYA secara terpimpin dan bijaksana. Dalam hal ini, ianya perlu bermula dengan peringkat individu, yang kemudiannya membawa kepada keluarga, masyarakat kedaerahan, wilayah negeri dan negara. Justeru peranan nafsu individu amat signifikant bagi melahirkan hati yang bersih dan tenang yang kemudiannya membentuk pemikiran yang murni berasaskan iman; yang akhirnya melahirkan masyarakat Islam yang kompetetif dan cemerlang. Disebabkan itu, Hujjatul Islam Imam al-Ghazali melihat nafsu lebih hebat pengaruh dan cabarannya berbanding SYAITAN. Ini kerana nafsu sentiasa ada dalam diri manusia. Tanpa iman dan bimbingan berterusan yang berteraskan ketauhidan Islam, nafsu mudah dipesongkan dan mengundang kehadiran Syaitan menggoda manusia melakukan kemungkaran yang kemudiannya membawa kecelakaan terhadap manusia.

Oleh demikikian, manusia Islam perlu bangkit menewaskan nafsu untuk memastikan survival dan kecemerlangan Islam supaya tidak ditindas atau hilang jati diri yang membawa kehancuran masyarakat Islam itu sendiri, sekaligus agama Islam. Apa yang penting disini ILMU, AMAL dan IKHLAS perlu bertindak sebagai senjata umat Islam bagi mewujudkan masyarakat As-Saadah (Kebahagiaan) atau ummatun wassata (umat cemerlang) agar tidak ditindas dan diperkotak-katikkan oleh NAFSU.

Friday, September 11, 2009

Satu Sorotan Cita Sempurna dan Cita Bencana dalam Nur Kasih

Cereka atau drama merupakan salah satu medium penyiaran untuk menyampaikan dakwah Islamiyyah. Dalam hal ini, penulis cukup tertarik dengan drama Nur Kasih yang bagi pandangan penulis cukup berbeza dari segi penyampaiannya. Tema atau plot naratif cukup mudah difahami dan disampaikan dengan cara yang berbeza, berbanding drama-drama dakwah yang lain yang pernah penulis tonton. Pengarahnya (Khabir Bhatia dan Faisal Ishak) dan penulisnya (Mira Mustafa) berupaya mengangkat persoalan Islam dengan gambaran visual yang jelas dalam menggambarkan keindahan agama Islam. Persoalan cereka ini walaupun hakikatnya berkisar tentang cinta, tetapi tema tersebut melihat dan mengangkat institusi cinta itu merupakan lahir dari hidayah Allah SWT. Dalam bahasa yang lebih mudah, cinta terhadap Allah SWT merupakan cinta yang hakiki dan cinta sesama manusia merupakan anugerah intuisi yang diamanahkan Allah SWT untuk dijaga dan dihiasi dengan berpandukan Al-Quran dan Al-Hadith. Di samping itu, naratif drama ini cukup dekat dengan pengalaman masyarakat dan inilah realitinya yang sama ada kita sedar atau tidak.

Pada pandangan penulis, watak-watak yang diciptakan dan tema yang diutarakan cukup kuat mewakili cita sempurna dan cita bencana dalam proses dakwah Islamiyyah. Cita sempurna merupakan satu pandangan hidup yang menyeluruh bertujuan untuk mencapai masyarakat sempurna yang dituntut Islam. Manakala cita bencana adalah semua yang bertentangan daripada cita sempurna. Bermula daripada cita bencana, yang mana plot cereka ini bergerak secara kontradik dan wataknya dipaparkan secara perlahan-lahan diislah kepada cita sempurna. Fragmenentasi sedemikian yang timbul seperti mana yang digambarkan dalam sejarah dakwah Nabi Muhammad SAW (Khatimunn Nabiyyin) dan sahabat-sahabatnya (as-Sabiqul al-Awallun) menyebarkan Islam di Mekkah dan Madinah.

Dalam hal ini penulis tertarik untuk menyentuh secara ringkas watak Adam dan Aidil untuk mengaitkan cita sempurna dalam medium cereka. Watak Adam misalnya, yang pada peringkat awalnya bersifat antogonis yang mewakili ciri-ciri cita bencana iaitu ingkar ajaran agama, tidak sensitiviti dalam bermasyarakat dan mementingkan diri sendiri; berubah apabila hidayah Allah SWT mengubah persepsinya terhadap Islam dan memahami Islam melalui cinta manusia (bukan hanya merujuk soal cinta sepasang kekasih atau isteri tetapi penulis meruk lebih daripada itu seperti cinta keluarga dan cinta masyarakat). Maksudnya, proses tarbiyah yang disampaikan dalam cereka ini tidak meletakkan cinta manusia sebagai satu cita bencana dalam kehidupan, tetapi ianya menterjemahkan cinta manusia itu mewakili keperluan asasi manusia yang boleh membawa mereka untuk mencintai Allah SWT. Apa yang menarik adalah watak tertawan Aidil yang mewakili cita sempurna. Watak tertawan merupakan gambaran individu yang sewajarnya wujud dalam manusia sempurna dengan memperlihatkan nilai-nilai akhlak Islamiyyah dalam diri mereka dan menjadi semacam manusia ideal bagi pandangan manusia yang lain. Walaupun watak tertawan ini ada cacat-celanya (biasa bagi manusia yang tiada maksumnya), namum ianya masih utuh dalam menerangkan syiar Islam dengan cara berhikmah.

Pada pandangan penulis, tema yang diangkat dalam cereka Nur Kasih ini cuba mengimplementasikan Islam dalam konteks ruang dakwah yang tidak sempit pemikirannya dan elemen tarbiyahnya melihat Islam sebagai agama yang universal (sejagat) dan tidak menyusahkan seperti mana yang difahami segelintir umat Islam kini. Mungkin pada hemat penulis inilah cereka yang menggabung dua konsep dakwa secara tuntas yakni Dakwah Bil-Hal dan Dakwah Bil-Lisan. yang boleh kita gunakan sebagai medium dakwah kontemporari dalam era pasca-milleneum bagi manuju pembentukan masyarakat madani yang sering diwar-warkan oleh pemikir Islam seperti Malek Bennabi, Ibn Khaldun, Sir Muhammad Iqbal atau tokoh Islah yang lain seperti Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh dan lain-lain lagi.

(Cita Sempurna dan Cita Bencana merupakan konsep sejarah hidup yang diutarakan oleh almarhum Prof. Dr. Syed Hussen al-Attas)




Kesedaran dan Kepentingan Ilmu Sejarah Terhadap Pembinaan Solidariti Sosial di Malaysia: Satu Perspektif Awal (Bahagian Akhir)

Sambungan......

Justeru, kesedaran sejarah haruslah diaturkan dalam bentuk yang berasaskan fungsi dan keperluan sejarah itu sendiri yang berpandukan perpaduan masyarakat di Malaysia seperti mana kata Arthur Marwick:
"Masyarakat manusia memang memerlukan sejarah, masyarakat kita yang canggih pada hari ini memerlukan banyak sejarah. Kita semua memandang pada sejarah sentiasa membuat pengadilan...(The Nature of History, 1950:44)

Hal ini sering ditegaskan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim (pemimpin dFacto PKR) yang sering disuarakan didalam ucapan dan agenda politiknya; menyifatkan keperluan terhadap kesedaran dan kepentingan sejarah terhadap manusia. Ini kerana beliau berpendapat tanpa mengenali sejarah dan memahami sejarah; masyarakat Malaysia tidak akan dapat memahami dirinya sendiri dan ini seiring dengan apa yang disuarakan oleh E. H Carr. Perhatikan kata-kata beliau:
"Masa lampau dapat kita fahami hanyalah dalam kaitannya dengan masa kini, dan kita dapat dengan sepenuhnya memahami masa kini hanyalah dalam kaitannya masa lampau" (Apakah Sejarah?, 1984: 57)

Oleh demikian, konsep integrasi nasional hanya akan wujud apabila masyarakat mula memahami konsep kefalsafahan sejarah entiti negaranya. Tambahan lagi, ianya boleh terjalin daripada proses kebolehpercayaan dan modifikasi evolusi sejarah tempatan itu sendiri yang melibatkan kesemua kaum. Tanpa adanya kesedaran dan kepentingan sejarah, ikatan perpaduan hanyalah dipermukaan sahaja tanpa mempunyai kekuatan dan pengisian yan utuh ke arah pembudayaan peradaban murni tersebut.

Kesedaran dan Kepentingan Ilmu Sejarah Terhadap Pembinaan Solidariti Sosial di Malaysia: Satu Perspektif Awal (Bahagian 2)

Pada umumnya bahawa terminologi sejarah membawa makna masa yang telah lalu. Namun begitu, tafsiran ilmu sejarah mengikut Bernadette Croce ialah "semua sejarah adalah sejarah masa kini" (History: Its Theory and Practice. 1923:3). Berdasarkan kenyataan Croce ini jelas ilmu sejarah boleh dimanipulasikan untuk pembangunan dan perkembangan tamadun masa kini dan hadapan. Sejarah bukanlah satu ilmu yang bersifat tampelan ataupun percisan. Jika ditinjau secara mendalam sejarah adalah ilmu yang sentiasa rapat dengan diri manusia. Karls Jaspers mengimbas hakikat ini dengan mengatakan bahawa manusia kini, "......hidup dalam satu warisan ilmu sejarah yang agung" (The Origins and the God of History, 1965:266). Ini kerana setiap individu itu dilahirkan dalam keadaan yang mempunyai sejarah sama ada ianya bersifat limitasi mahu pun sebaliknya. Misalnya dalam konteks pembinaan solidariti sosial. dapat dilihat peranan yang dimainkan oleh kolonial British dalam mengatur tata-hidup dan budaya minda terhadap penduduk di Tanah Melayu.

Melalui tulisan J.M Gullick (Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat dan Malay Society in the late Nineteenth Century) dan Richard Winstedt (The Malays-A Cultural History) masyarakat tempatan didedahkan dengan sistem pentadbiran dan ekonomi British di mana penduduk di Tanah Melayu ketika itu dipecahkan identiti mereka melalui pengenalan dasar pecah dan perintah. Dasar ini ternyata memberikan kesan yang mendalam terhadap pembinaan semangat perpaduan sosial di kalangan penduduk di Malaysia selepas merdeka. Identifikasi antara kaum semaca dikekalkan selepas kemerdekaan dan ini membawa tercetusnya peristiwa 13 mei 1969. Peristiwa pahit dan ngeri ini terjadi berikutan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum Melayu dengan kaum Cina. Seterusnya ianya membawa kepada konflik perkauman yang berlanjutan sehinggalah dibentuk Majlis Gerakan Negara (Mageran) untuk meredakan keadaan buat sementara sebelum Dasar Ekonomi baru (DEB) dan Perpaduan Negara dilaksanakan pada tahun tahun 1971.


Gambaran peristiwa tersebut sebenar dan sepatutnya memberikan satu bentuk kesedaran kepada warga Malaysia betapa pentingnya ilmu sejarah. Ilmu sejarah dapat berfungsi bukan sahaja untuk memberi ikhtibar, pengajaran, semangat dan motivasi, bahkan kekuatan seseorang, golongan masyarakat, etnik dan bangsa untuk bangun kembali membetulkan kesilapan dan kemudiannya mengubah serta melaksanakan semula tentatif yang baru lebih komprehensif dan dinamik. Proses pemantapan sejarah terhadap kesemua warga Malaysia haruslah berlandaskan konsep ilmu sejarah yang sebenarnya. Ini kerana dikhuatiri akan berlakunya pemesongan sejarah berdasarkan kepentingan pihak-pihak tertentu dalam menyebarkan dakyah, dan pengaruh mereka. Ianya bertujuan untuk mengelakkan perasaan benci, syak wasangka dan hasad dengki yang boleh membantutkan proses perpaduan kaum di Malaysia.

Dalam hal ini, ianya boleh dilihat melalui tuntutan yang dibuat oleh SUQUI terhadap kerajaan Malaysia pada tahun 2000 yang lalu berasaskan konsep egalitarianisme (fahaman konsep sama rata). Pada pandangan penulis tuntutan ini merupakan satu manifestasi yang berasaskan pemikiran masyarakat sivil yang menuntut perbahasan dan penilaian hak yang sama dan terbuka masyarakat Cina. Namun demikian, kelonggaran dan wujudnya ruang-ruang solidariti yang masih mentah dan kabur menyebabkan tuntutan tersebut disambut dingin dan salah erti antara kedua-dua pihak (orang Melayu dan Cina). Maksud yang lebih jelas kedua-dua belah pihak masih tidak bersedia sepenuhnya dari segi prejudis politik, ekonomi dan sosial.

(Lihat sambungan Bahagian 3)


Thursday, September 10, 2009

Kesedaran dan Kepentingan Ilmu Sejarah Terhadap Pembinaan Solidariti Sosial di Malaysia: Satu Perspektif Awal (Bahagian 1)

Perkembangan sesebuah masyarakat dan negara umumnya ditentukan oleh acuan sejarah dan budayanya. Faktor-faktor masa lepas dan masa kini sentiasa berinteraksi dalam persekitarannya. Kadangkala, nilai-nilai warisan masa lalu berkedudukan strategik sekali mencorak dan mendefinisikan evolusi masyarakat dan negara, sambil menghalanya kepada suatu masa depan tertentu. Malaysia tidak terlepas dari arus perubahan seperti ini, yang memuatkan pelbagai pengaruh pribumi, yang terpunggah dari zaman ke zaman. Sebagai sebuah negara-bangsa yang beraksi di pentas antarabangsa semasa, ia sebenarnya merupakan sebuah entiti yang berbekalkan wagas-wawasan dan gagasan-yang sedia terbentuk itu kerana tanpa wagas ia ia tidak akan mempunyai ketahanan mengharungi dan menangani cabaran kemerdekaan dan kesejagatan (globalisasi). Dalam konteks ini, wagas yang dimaksudkan adalah perpaduan yang berteraskan pembinaan integrasi antara kaum di Malaysia.

Perbahasan mengenainya (perpaduan masyarakat Malaysia) sering dipolemikkan dan dijadikan isu khususnya dalam menyentuh perkara-perkara yang melibatkan kepentingan politik antara pihak-pihak berkenaan. Isu ini timbul berikutan sikap dan tata-cara hidup masyarakat di Malaysia masih lagi melambangkan nilai fanatisme terhadap bangsa masing-masing tanpa mengambil kira semangat integrasi sosial yang digagaskan selama ini sejak berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Keadaan ini membayangkan situasi sebenar persekitaran sosio-politik di Malaysia. Persoalannya, kenapa masalah ini masih lagi menghantui di kalangan warga Malaysia kini perlu dikupas secara akademik dengan mengambil kira kesemua elemen yang berkait-rapat dan saling-berhubungan sama ada ianya berasaskan sentimen politik, ekonomi dan sosial.

Dalam bahagian awal tadi, penulis ada menyatakan 'keakraban' hubungan antara perkembangan masyarakat dengan sejarah. Sejarah memainkan peranan yang cukup penting dalam 'membina dan juga menjatuhkan' peradaban sesebuah bangsa serta masyarakat. Apa yang dimaksudkan membina peradaban sesebuah masyarakat adalah kebijaksanaan manusia ketika itu 'mengeksploitasi' masa lepas untuk memastikan zamannya tidak berulang kembali perkara-perkara yang boleh menjatuhkan serta menidakkan sebarang perkembangan positif dalam ketamadunan mereka dan begitu pengertian di sebaliknya. Ilmu sejarah secara lahiriahnya memberikan manfaat kepada perkembangan minda manusia. Ini kerana setiap ilmu itu merupakan anugerah yang dikurniakan Allah SWT untuk memberikan pedoman dan panduan kepada manusia sebagai khalifah di muka bumi ini agar memerintah dengan adil serta memastikan kedamaian dapat diwujudkan terhadap semua makhluk Allah SWT di dunia ini. Firman Allah SWT:
"Allah mengangkat orang-orang yangb beriman di kalangan kamu dan orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat (al-Quran: al-An'am:50)

dan Rasullullah SAW bersabda:

"Barang siapa yang mahukan dunia, hendaklah dia menggunakan ilmu, dan barang siapa yang mahukan akhirat, maka hendaklah dia menggunakan ilmu, dan barang siapa yang mahukan kedua-duanya sekali, maka hendaklah dia menggunakan ilmu (Hadis Riwayat Bukhari).


Secara umumnya, kesedaran ilmu dan kepentingan sejarah bertautan antara satu sama lain dalam menjana solidariti sosial kemajmukan masyarakat Malaysia. Ianya akan terus dinilai, dipantau, diuji dan dipersoalkan secara langsung sehingga masyarakat Malaysia bersedia mebentuk masyarakat sivil secara idealnya tanpa mengorbankan kepentingan dan hak mana-mana kaum di Malaysia. Pada bahagian seterusnya, penulis akan membahaskan perkara ini secara tuntas, berani dan bertanggungjawab dengan melihat aspek ihktibar dalam sejarah Malaysia dan menghubungkannya realiti intuisi masyarakat Malaysia.