Sunday, November 1, 2009

Persepsi Awal Terhadap Penahanan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Isu penahanan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin di sebuah banglo Hulu Klang, bekas Mufti Perlis pada 1 November menjadi tema diskusi perdebatan keagamaan dan perundangan di negara kita. Tuduhan yang disabitkan oleh JAIS ke atas Dr. Asri adalah beliau berceramah tanpa tauliah yang dikeluarkan institusi terbabit. Dalam hal ini, penulis tidak mahu menyentuh soal perundangan yang menjadi hak pemutus JAIS, tetapi yang menjadi persoalan di sini integriti dalam dakwah bil-lisan seakan dikelirukan yang boleh menyebabkan masyarakat Islam di Malaysia berbalah serta memperlihatkan kelemahan perundangan Islam secara praktikalnya.

Mungkin, apabila dikritis secara tersirat isu penahanan Dr. Asri dilihat berkait rapat dengan tuduhan bahawa beliau terlibat dalam penyebaran gerakan Wahabi di Malaysia atau kelantangan beliau dalam membidas isu-isu yang bercanggah dengan pihak-pihak tertentu yang menyebabkan timbulnya polemik dalam kalangan ahli-ahli agama dan politik. Walau bagaimanapun, pada hemat penulis hakikatnya rentetan isu ini bermula apabila masyarakat Islam di Malaysia masih lagi dikepompongi dengan pemikiran Melayu tradisional yang tidak selari dengan prinsip Islam yang sebenar. Persoalan furu' yang dibahaskan secara keterlaluan menyebabkan masyarakat Islam mudah hilang fokus terutamanya terhadap isu-isu yang sepatutnya diprioriti untuk dimartabatkan sebagai tema perdebatan dan perjuangan masyarakat Islam di Malaysia. Lantaran itu, As-Syahid Sayyid Qutb dalam bukunya" Ma'alim fit Tariq", ada menjelaskan ciri-ciri, punca dan sebab kewujudan masyarakat Jahilliah moden dalam kalangan umat Islam akibat daripada pergolakan keterlaluan yang berkaitan soal furu' atau cabang ini. Mungkin kerana itu, Syeikhul Islam Ibn Tamiyyah tidak menerima konsep bida'ah dalam kehidupan manusia pada zamannya.

Justeru, mungkin kita perlu kembali kepada fitrah agama Islam yang sebenar berasaskan panduan Al-Quran dan Sunnah Rasullullah SAW dan golangan salafiyyah untuk mengelakkan perpecahan umat Islam serta pada masa yang boleh menyebabkan masyarakat bukan Islam semakin menjauhkan dirinya daripada agama Islam lantaran 'KEJAHILAN' umat Islam sendiri. Jadikan isu penahanan Dr. Asri sebagai ikhtibar kepada kita bahawa masyarakat Islam perlu bersatu dalam menangani sebarang pergolakan dan provakasi dari pihak luar serta PERPADUAN umat Islam sebagai teras utamanya dalam setiap tindakan yang diambil.

0 comments: