Sunday, November 1, 2009

Nafsu dan Sanggahannya dalam Pembinaan Tamadun Islam

Masyarakat yang bertamadun lahir daripada tatasusila yang tinggi dalam kalangan komunitinya, disamping pembangunan ekonomi yang luhur dan nilai sahsiah diri yang mantap. Pemikir Islam klasik seperti Ibn Khaldun, Ibn Sina, dan Ibn Tamiyyah sering mengaitkan kecendurungan jiwa yang bersih dalam membentuk kerangka tamadun yang ideal dan praktikal sifatnya berlandaskan syariat Islam. Pandangan mereka turut disokong dan dikongsi bersama oleh pemikir Islam kontemporari yang lain seperti Muhammad Iqbal, Malek Bennabi, Abul Hassan Ali an-Nadwi, Hamka, Muhammad Natsir, Al-Maududi, Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan lain-lain lagi; yang meletakkan nilai tauhid sama ada ubudiyyah dan rubudiyyah sebagai kerangka tamadun Islam moden selari dengan tuntutan Al-Quran dan Al-Hadis sebagai batu asas kepada pembangunan mampan masyarakat Islam.

Namun demikian, pada hemat penulis cabaran dan rintangan dalam usaha membentuk masyarakat Islam yang idealis berasaskan prinsip tauhid yang hakiki adalah terletak bagaimana cara individu Islam menangani NAFSUNYA secara terpimpin dan bijaksana. Dalam hal ini, ianya perlu bermula dengan peringkat individu, yang kemudiannya membawa kepada keluarga, masyarakat kedaerahan, wilayah negeri dan negara. Justeru peranan nafsu individu amat signifikant bagi melahirkan hati yang bersih dan tenang yang kemudiannya membentuk pemikiran yang murni berasaskan iman; yang akhirnya melahirkan masyarakat Islam yang kompetetif dan cemerlang. Disebabkan itu, Hujjatul Islam Imam al-Ghazali melihat nafsu lebih hebat pengaruh dan cabarannya berbanding SYAITAN. Ini kerana nafsu sentiasa ada dalam diri manusia. Tanpa iman dan bimbingan berterusan yang berteraskan ketauhidan Islam, nafsu mudah dipesongkan dan mengundang kehadiran Syaitan menggoda manusia melakukan kemungkaran yang kemudiannya membawa kecelakaan terhadap manusia.

Oleh demikikian, manusia Islam perlu bangkit menewaskan nafsu untuk memastikan survival dan kecemerlangan Islam supaya tidak ditindas atau hilang jati diri yang membawa kehancuran masyarakat Islam itu sendiri, sekaligus agama Islam. Apa yang penting disini ILMU, AMAL dan IKHLAS perlu bertindak sebagai senjata umat Islam bagi mewujudkan masyarakat As-Saadah (Kebahagiaan) atau ummatun wassata (umat cemerlang) agar tidak ditindas dan diperkotak-katikkan oleh NAFSU.

0 comments: