Friday, September 11, 2009

Kesedaran dan Kepentingan Ilmu Sejarah Terhadap Pembinaan Solidariti Sosial di Malaysia: Satu Perspektif Awal (Bahagian 2)

Pada umumnya bahawa terminologi sejarah membawa makna masa yang telah lalu. Namun begitu, tafsiran ilmu sejarah mengikut Bernadette Croce ialah "semua sejarah adalah sejarah masa kini" (History: Its Theory and Practice. 1923:3). Berdasarkan kenyataan Croce ini jelas ilmu sejarah boleh dimanipulasikan untuk pembangunan dan perkembangan tamadun masa kini dan hadapan. Sejarah bukanlah satu ilmu yang bersifat tampelan ataupun percisan. Jika ditinjau secara mendalam sejarah adalah ilmu yang sentiasa rapat dengan diri manusia. Karls Jaspers mengimbas hakikat ini dengan mengatakan bahawa manusia kini, "......hidup dalam satu warisan ilmu sejarah yang agung" (The Origins and the God of History, 1965:266). Ini kerana setiap individu itu dilahirkan dalam keadaan yang mempunyai sejarah sama ada ianya bersifat limitasi mahu pun sebaliknya. Misalnya dalam konteks pembinaan solidariti sosial. dapat dilihat peranan yang dimainkan oleh kolonial British dalam mengatur tata-hidup dan budaya minda terhadap penduduk di Tanah Melayu.

Melalui tulisan J.M Gullick (Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat dan Malay Society in the late Nineteenth Century) dan Richard Winstedt (The Malays-A Cultural History) masyarakat tempatan didedahkan dengan sistem pentadbiran dan ekonomi British di mana penduduk di Tanah Melayu ketika itu dipecahkan identiti mereka melalui pengenalan dasar pecah dan perintah. Dasar ini ternyata memberikan kesan yang mendalam terhadap pembinaan semangat perpaduan sosial di kalangan penduduk di Malaysia selepas merdeka. Identifikasi antara kaum semaca dikekalkan selepas kemerdekaan dan ini membawa tercetusnya peristiwa 13 mei 1969. Peristiwa pahit dan ngeri ini terjadi berikutan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum Melayu dengan kaum Cina. Seterusnya ianya membawa kepada konflik perkauman yang berlanjutan sehinggalah dibentuk Majlis Gerakan Negara (Mageran) untuk meredakan keadaan buat sementara sebelum Dasar Ekonomi baru (DEB) dan Perpaduan Negara dilaksanakan pada tahun tahun 1971.


Gambaran peristiwa tersebut sebenar dan sepatutnya memberikan satu bentuk kesedaran kepada warga Malaysia betapa pentingnya ilmu sejarah. Ilmu sejarah dapat berfungsi bukan sahaja untuk memberi ikhtibar, pengajaran, semangat dan motivasi, bahkan kekuatan seseorang, golongan masyarakat, etnik dan bangsa untuk bangun kembali membetulkan kesilapan dan kemudiannya mengubah serta melaksanakan semula tentatif yang baru lebih komprehensif dan dinamik. Proses pemantapan sejarah terhadap kesemua warga Malaysia haruslah berlandaskan konsep ilmu sejarah yang sebenarnya. Ini kerana dikhuatiri akan berlakunya pemesongan sejarah berdasarkan kepentingan pihak-pihak tertentu dalam menyebarkan dakyah, dan pengaruh mereka. Ianya bertujuan untuk mengelakkan perasaan benci, syak wasangka dan hasad dengki yang boleh membantutkan proses perpaduan kaum di Malaysia.

Dalam hal ini, ianya boleh dilihat melalui tuntutan yang dibuat oleh SUQUI terhadap kerajaan Malaysia pada tahun 2000 yang lalu berasaskan konsep egalitarianisme (fahaman konsep sama rata). Pada pandangan penulis tuntutan ini merupakan satu manifestasi yang berasaskan pemikiran masyarakat sivil yang menuntut perbahasan dan penilaian hak yang sama dan terbuka masyarakat Cina. Namun demikian, kelonggaran dan wujudnya ruang-ruang solidariti yang masih mentah dan kabur menyebabkan tuntutan tersebut disambut dingin dan salah erti antara kedua-dua pihak (orang Melayu dan Cina). Maksud yang lebih jelas kedua-dua belah pihak masih tidak bersedia sepenuhnya dari segi prejudis politik, ekonomi dan sosial.

(Lihat sambungan Bahagian 3)


0 comments: