Tuesday, November 3, 2009

Pengagihan Hasil kekayaan Negara Mengikut Perspektif Islam

Islam meletakkan keadilan dalam pengagihan kekayaan mengikut syariat yang ditetapkan Al-Quran dan Al-Hadis. Islam meharamkan pelonggokan harta kekayaan dan menggesa mengeluarkan perbelanjaan untuk kemaslahatan umat Islam. Pada masa sama Islam menghendakinya supaya hasil kekayaan dibelanjakan pada jalan Allah dengan menyempurnakan hak yang wajib padanya serta menjadikan hasil kekayaan itu beredar di tangan umum supaya faedah-faedahnya dapat dinikmati dengan sifat harta itu adalah suatu alat dan bukan matlamat.

Petunjuk Illahi adalah dianggap sebagai satu asas ekonomi Islam yang tidak merestui sama sekali tindakan monopoli dalam erti kata menyimpan dan melonggok harta kekayaan atau komoditi untuk menentukan nilai pasaran dengan harga yang mahal; kerana cara demikian pastinya menjejaskan kemaslahatan dan hak orang ramai. Allah SWT berfirman:

"Apa sahaja harta rampasan (fai'i) yang diberikan Allah kepada RasulNya yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggallah"

Jelas ayat di atas Allah SWT mengharamkan tindakan menjadikan harta itu berkisar di tangan golongan yang tertentu sahaja. Pembahagian ini (harta fai'i) yang diberikan Allah SWT untuk golongan fakir sahaja tidak kepada yang lain dari mereka, kerana mereka tidak punyai hak padanya. Ia merupakan semata-mata kemenangan yang dikurniakan Allah SWT kepada RasulNya tanpa melakukan sebarang pertempuran atau perjuangan senjata dan hukum ini boleh juga diqiaskan kepada yang serupa dengannya bila-bila ada terjadi.

Hikmahnya ialah supaya jangan harta itu berkisar atau terhimpun pada tangan golongan yang kaya sahaja tidak pada fakir miskin dari kalangan umat Islam. Maka hendaklah dipelihara bahagian golongan fakir miskin pada harta-harta yang tidak ada padanya hak orang-orang kaya yang mana pihak yang berkuasa hendaklah meletakkan ianya ditangan orang yang paling memerlukannya yang mempunyai hak yang tersedia dalam harta orang-orang kaya.

Secara generalisasinya, ekonomi Islam menuntut pengagihan kekayaan secara adil terhadap golongan miskin, pertengahan dan kaya. Ini bagi memastikan kemakmuran kekayaan dalam negara dapat diagih dan dirasai secara bersama.



Sunday, November 1, 2009

Persepsi Awal Terhadap Penahanan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Isu penahanan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin di sebuah banglo Hulu Klang, bekas Mufti Perlis pada 1 November menjadi tema diskusi perdebatan keagamaan dan perundangan di negara kita. Tuduhan yang disabitkan oleh JAIS ke atas Dr. Asri adalah beliau berceramah tanpa tauliah yang dikeluarkan institusi terbabit. Dalam hal ini, penulis tidak mahu menyentuh soal perundangan yang menjadi hak pemutus JAIS, tetapi yang menjadi persoalan di sini integriti dalam dakwah bil-lisan seakan dikelirukan yang boleh menyebabkan masyarakat Islam di Malaysia berbalah serta memperlihatkan kelemahan perundangan Islam secara praktikalnya.

Mungkin, apabila dikritis secara tersirat isu penahanan Dr. Asri dilihat berkait rapat dengan tuduhan bahawa beliau terlibat dalam penyebaran gerakan Wahabi di Malaysia atau kelantangan beliau dalam membidas isu-isu yang bercanggah dengan pihak-pihak tertentu yang menyebabkan timbulnya polemik dalam kalangan ahli-ahli agama dan politik. Walau bagaimanapun, pada hemat penulis hakikatnya rentetan isu ini bermula apabila masyarakat Islam di Malaysia masih lagi dikepompongi dengan pemikiran Melayu tradisional yang tidak selari dengan prinsip Islam yang sebenar. Persoalan furu' yang dibahaskan secara keterlaluan menyebabkan masyarakat Islam mudah hilang fokus terutamanya terhadap isu-isu yang sepatutnya diprioriti untuk dimartabatkan sebagai tema perdebatan dan perjuangan masyarakat Islam di Malaysia. Lantaran itu, As-Syahid Sayyid Qutb dalam bukunya" Ma'alim fit Tariq", ada menjelaskan ciri-ciri, punca dan sebab kewujudan masyarakat Jahilliah moden dalam kalangan umat Islam akibat daripada pergolakan keterlaluan yang berkaitan soal furu' atau cabang ini. Mungkin kerana itu, Syeikhul Islam Ibn Tamiyyah tidak menerima konsep bida'ah dalam kehidupan manusia pada zamannya.

Justeru, mungkin kita perlu kembali kepada fitrah agama Islam yang sebenar berasaskan panduan Al-Quran dan Sunnah Rasullullah SAW dan golangan salafiyyah untuk mengelakkan perpecahan umat Islam serta pada masa yang boleh menyebabkan masyarakat bukan Islam semakin menjauhkan dirinya daripada agama Islam lantaran 'KEJAHILAN' umat Islam sendiri. Jadikan isu penahanan Dr. Asri sebagai ikhtibar kepada kita bahawa masyarakat Islam perlu bersatu dalam menangani sebarang pergolakan dan provakasi dari pihak luar serta PERPADUAN umat Islam sebagai teras utamanya dalam setiap tindakan yang diambil.

Nafsu dan Sanggahannya dalam Pembinaan Tamadun Islam

Masyarakat yang bertamadun lahir daripada tatasusila yang tinggi dalam kalangan komunitinya, disamping pembangunan ekonomi yang luhur dan nilai sahsiah diri yang mantap. Pemikir Islam klasik seperti Ibn Khaldun, Ibn Sina, dan Ibn Tamiyyah sering mengaitkan kecendurungan jiwa yang bersih dalam membentuk kerangka tamadun yang ideal dan praktikal sifatnya berlandaskan syariat Islam. Pandangan mereka turut disokong dan dikongsi bersama oleh pemikir Islam kontemporari yang lain seperti Muhammad Iqbal, Malek Bennabi, Abul Hassan Ali an-Nadwi, Hamka, Muhammad Natsir, Al-Maududi, Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan lain-lain lagi; yang meletakkan nilai tauhid sama ada ubudiyyah dan rubudiyyah sebagai kerangka tamadun Islam moden selari dengan tuntutan Al-Quran dan Al-Hadis sebagai batu asas kepada pembangunan mampan masyarakat Islam.

Namun demikian, pada hemat penulis cabaran dan rintangan dalam usaha membentuk masyarakat Islam yang idealis berasaskan prinsip tauhid yang hakiki adalah terletak bagaimana cara individu Islam menangani NAFSUNYA secara terpimpin dan bijaksana. Dalam hal ini, ianya perlu bermula dengan peringkat individu, yang kemudiannya membawa kepada keluarga, masyarakat kedaerahan, wilayah negeri dan negara. Justeru peranan nafsu individu amat signifikant bagi melahirkan hati yang bersih dan tenang yang kemudiannya membentuk pemikiran yang murni berasaskan iman; yang akhirnya melahirkan masyarakat Islam yang kompetetif dan cemerlang. Disebabkan itu, Hujjatul Islam Imam al-Ghazali melihat nafsu lebih hebat pengaruh dan cabarannya berbanding SYAITAN. Ini kerana nafsu sentiasa ada dalam diri manusia. Tanpa iman dan bimbingan berterusan yang berteraskan ketauhidan Islam, nafsu mudah dipesongkan dan mengundang kehadiran Syaitan menggoda manusia melakukan kemungkaran yang kemudiannya membawa kecelakaan terhadap manusia.

Oleh demikikian, manusia Islam perlu bangkit menewaskan nafsu untuk memastikan survival dan kecemerlangan Islam supaya tidak ditindas atau hilang jati diri yang membawa kehancuran masyarakat Islam itu sendiri, sekaligus agama Islam. Apa yang penting disini ILMU, AMAL dan IKHLAS perlu bertindak sebagai senjata umat Islam bagi mewujudkan masyarakat As-Saadah (Kebahagiaan) atau ummatun wassata (umat cemerlang) agar tidak ditindas dan diperkotak-katikkan oleh NAFSU.